Menulis atau Membaca Ayat Al-Quran Menggunakan Tulisan Rumi

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kami melihat persoalan di atas boleh ditafsirkan dengan beberapa keadaan:

  1. Jika yang dimaksudkan dengan menulis بسم الله الرحمن الرحيم itu adalah dengan menulis secara transliterasi iaitu “Bismillahirahmanirrahim” maka pada asalnya ianya tidak dibenarkan dan ianya juga tidak dikira sebagai Al-Quran. Ini kerana terdapat sebahagian huruf Bahasa Arab yang tiada di dalam huruf rumi dan ini boleh menyebabkan berlakunya kesalahan dalam bacaan yang mana boleh membawa kepada perubahan makna Al-Quran itu sendiri.[1]. Sekiranya disertakan sekali dengan ayat Al-Quran tersebut, maka ianya dibenarkan dalam sesetengah pendapat yang mana bertujuan untuk pembelajaran. Ini selalunya bagi memudahkan mereka yang bukan Arab untuk membaca Al-Quran namun perlulah dari semasa ke semasa untuk memperbaiki bacaan mereka agar bertepatan dengan sebutan serta makhraj. Al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya Fatwa Kontemporari turut menjelaskan perkara yang sama iaitu pada asalnya tidak dibenarkan namun dibolehkan untuk ayat Al-Quran ditulis dari selain bahasa Arab dalam konteks penulisan akademik dan juga pembelajaran.[2]
  2. Sekiranya yang dimaksudkan dengan menulis بسم الله الرحمن الرحيم itu dengan terjemahannya iaitu “Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang” maka ia dibenarkan dan ianya termasuk di dalam kategori terjemahan Al-Quran. Namun, terjemahan itu perlulah bertepatan dengan kaedah Bahasa Arab yang telah ditetapkan.
WhatsApp Image 2020 09 29 at 7.35.49 PM - Menulis atau Membaca Ayat Al-Quran Menggunakan Tulisan Rumi LIVENGAJI

Kesimpulan

Kami lebih cenderung untuk mengatakan tidak boleh untuk menulis ayat Al-Quran dengan tulisan rumi untuk menutup ruang penyelewengan yang boleh berlaku dari sudut perubahan makna dan juga lafaz.

Seterusnya, sudah pasti ianya juga tidak menepati tajwid dan menyalahi apa yang telah ditulis oleh para ulama’ berkenaan dengan rasm al-Quran itu sendiri. Allah SWT telah menyebutkan berkenaan al-Quran di dalam Bahasa Arab maka begitulah juga mafhumnya tulisan hendaklah juga di dalam Bahasa Arab.

Adalah sangat perlu bagi mereka yang ingin membaca al-Quran berguru, bertalaqqi dan bersyafawi melalui tuan-tuan guru sepertimana yang dipelajari oleh nenek moyang kita secara bersilsilah sejak dahulu lagi. Ini juga melihat bagaimana para Sahabat mengambil bacaan al-Quran itu sendiri daripada Nabi SAW dan seterusnya sampai kepada kita dengan cara bersanad.

Wallahu a’lam.


Rujukan : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1325-al-kafi-426-menulis-ayat-al- quran-menggunakan-tulisan-rumi