MAMPUKAH AL-QURAN MENYATUKAN MANUSIA PELBAGAI KAUM?

Kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya adalah satu kelainan yang ada pada rakyat Malaysia yang sepatutnya dihormati dan diiktiraf keberadaannya. Kata-kata Allah di dalam Al-Quran, Surah Al-Mumtahanah, Ayat 8 :

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” 

Surah al-Mumtahanah, Ayat 8)

Dalam negara rahmah, seluruh rakyat, sebagai warganegara Malaysia berada pada kedudukan sama rata, memiliki hak-hak dan memikul tanggungjawab-tangungjawab seperti warganegara lain, semuanya hidup sebagai anggota kepada satu keluarga besar, bangsa Malaysia.

Setiap kumpulan daripada etnik yang berbeza, agama yang berbeza adalah bebas dalam mengamalkan agama dan kebudayaan masing-masing, berbicara  menggunakan bahasa mereka sendiri selama mana semua mereka mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia.

Kita semua sewajarnya melihat kelainan yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai agama, kelainan bahasa dan budaya sebagai satu kelainan yang ada pada rakyat Malaysia yang sepatutnya dihormati dan diiktiraf keberadaannya. Ia adalah fenomena flora dan fauna kemanusiaan rakyat Malaysia.

Ia satu kelainan dan kepelbagaian yang tidak menghalang kepada penyatuan, bukan bahan kepada seruan perkauman yang sempit. Ia adalah sebahagian daripada bukti-bukti kekuasaan Allah SWT, Sang Pencipta yang mampu mencipta manusia dalam kepelbagaiannya berbeza agama, warna, bahasa, bangsa dan budaya, tetapi boleh hidup bersama  dan bergaul secara harmoni.

Credit to : GABUNGAN DAKWAH MALAYSIA