Jangan Malu Belajar Al-Quran di Usia Lanjut

BELAJAR mengaji pada usia lanjut adakalanya membibitkan perasaan malu bagi segelintir orang. Namun, rasa itu sepatutnya tidak perlu ada kerana ia melibatkan perihal menuntut ilmu terutama berkaitan agama. Sementelah, menuntut ilmu itu merupakan kewajipan ke atas setiap insan.

Ya, barangkali perasaan itu terbit kerana sifat rendah diri mereka yang buta huruf, merangkak- rangkak mahupun tidak fasih dalam soal hukum tajwid. Namun, ketahuilah itu hanya pandangan kita semata-mata. Hakikatnya tanggapan itu hanya akan merugikan diri. Walhal, ALLAH SWT telah menjanjikan ganjaran buat hamba-hamba-NYA yang tidak lancar membaca al-Quran, tetapi masih berusaha mempelajarinya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang yang lancar membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa selalu taat kepada ALLAH. Adapun, yang membaca al-Quran dan tersekat-sekat di dalamnya dan sulit atasnya bacaan tersebut, maka, baginya dua pahala.”

(Riwayat Muslim)

WhatsApp Image 2020 10 02 at 12.45.08 PM 2 - Jangan Malu Belajar Al-Quran di Usia Lanjut LIVENGAJI

Sesungguhnya usia bukanlah penghalang untuk seseorang itu belajar dan berjaya. Begitu juga apabila kita belajar mengaji. Tidak kiralah berapa pun usia kita, jangan sesekali menyerah kalah tanpa berusaha untuk belajar mengaji dan memperbaiki bacaan kalamullah sebelum ‘menutup mata’.

Allah SWT tidak akan menjadikan sesuatu itu sebagai panduan hidup manusia jika ia tidak benar- benar mempunyai tujuan yang tersendiri. Sudah menjadi sunnah kehidupan, manusia memerlukan panduan dan petunjuk dalam kehidupan mereka.

Begitu juga dengan penurunan al-Quran kepada manusia. Allah SWT dengan penuh hikmah dan tujuan tertentu untuk menjaga seluruh kepentingan manusia supaya mereka berada dalam keadaan terpimpin. Inilah tujuan sebenar al-Quran yang menjadi rahmat dan petunjuk untuk seluruh manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan (ingatkanlah) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu) dan Kami turunkan kepadamu al- Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayat petunjuk, serta membawa rahmat dan berita menggembirakan bagi orang Islam.”

(Surah an-Nahl. ayat 16)

WhatsApp Image 2020 10 02 at 12.45.08 PM - Jangan Malu Belajar Al-Quran di Usia Lanjut LIVENGAJI

Al-Quran sebagai sebuah perlembagaan utama bagi manusia yang menjadi pelengkap terhadap kehidupan beragama. Firman Allah SWT menggambarkan peranan al-Quran sebagai hidayah dan petunjuk. Maknanya, al-Quran hadir sebagai jawapan dan penyelesaian bagi semua kemusykilan atau persoalan dulu, kini serta masa mendatang. Justeru, al-Quran wajar menjadi kitab yang didampingi setiap hari sebagai rujukan.

Kelebihan al-Quran terlalu banyak dan sewajarnya direbut umat Islam yang mengharapkan kehidupan baik bukan saja di dunia, juga akhirat. Malah, bagi hati yang sedang gusar, al-Quran adalah penawar terbaik buat mereka. Al-Quran berperanan menjaga kehidupan individu beragama dari segi jiwa, hak pemilikan, hal berkaitan keaibannya, keharusan berkahwin, kebebasan bersuara serta berfikir. Semuanya untuk memperbaiki hidup manusia melalui prinsip dan batas syariah yang ditetapkan.

Selain memperbaiki kehidupan individu, al-Quran juga menjaga kehidupan bermasyarakat supaya sentiasa terpimpin. Tanpa batas yang dipandu al-Quran, masyarakat menjadi pincang dan boleh memberi mudarat besar kerana ia membabitkan kehidupan setiap manusia, bukan dirinya saja.


Rujukan:

  1. https://www.sinarharian.com.my/article/60584/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Tiada-apa-hendak- dimalukan-belajar-ngaji-pada-usia-lanjut
  2. https://epondok.wordpress.com/2013/12/11/al-quran-sebagai-panduan-ummah-sepanjang-zaman/